Syaitan Manusia

Fitnah -merupakan kalimah bahasa Arab- dan boleh membawa maksud: ujian, cabaran, kekalutan, bala dan siksaan. Istilah fitnah ini juga boleh membawa maksud “syirik dan kufur”.

Tetapi kebanyakan istilah “fitnah” yang digunakan mengandungi maksud “ujian dan cabaran” (kepada keimanan) yang mana ianya telah menjadikan ramai manusia telah terseleweng dari landasan yang sebenar dan mereka tidak mampu untuk menghadapinya. Akhirnya hanyut bersama-sama ujian dan cabaran yang dihadapi tersebut. Inilah fitnah yang menyesatkan, ianya amat dibimbangi oleh Nabi saw bahawa ia akan menimpa umatnya. Renungilah pesanan Baginda saw di dalam hadisnya yang sahih:

Maksud: Bersegaralah di dalam melakukan amal (soleh), (kerana akan tiba suatu keadaan) fitnah seperti potongan malam yang gelap, seorang lelaki yang beriman di waktu pagi, akan menjadi kafir pada petangnya, yang beriman di waktu petang, akan kafir pada keesokan paginya, dia menjual agamanya dengan gadaian dunia. (Riwayat Muslim)

Penjelasannya, apabila seseorang itu menghadapi saat fitnah yang digambarkan ini atau sebahagian daripadanya, maka dia akan tertipu dengan keadaan ini, akhirnya akan tenggelam dan tergelincir dari landasan kebenaran dan hidayah. Dia akan menggadaikan (meninggalkan) agamanya dengan nilaian dunia.

Suasana fitnah seperti ini atau sebahagian besarnya telah berlaku di zaman kita pada hari ini. Untuk itu, seseorang itu tidak akan dapat bersabar untuk menghadapinya kecuali mereka yang telah ditetapkan hati mereka dan dikurniakan dengan ilmu dan kecelikan mata hati.

Syaitan manusia dan syaitan jin

Apabila syaitan telah mengetahui yang dia telah binasa dan dia merupakan salah seorang daripada ahli neraka, syaitan tidak akan membiarkan dirinya masuk begitu sahaja. Lalu syaitan berusaha sedaya upaya untuk menyesatkan anak Adam dan akhirnya akan masuk ke dalam neraka bersama-samanya.

Allah swt juga telah menyatakan bahawa terdapat juga syaitan dari kalangan manusia.

Dan demikianlah Kami (Allah) jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya… (al-An’am:112)

Di dalam ayat ini, Allah swt telah menyebut syaitan manusia kemudian baru disusuli dengan syaitan jin. Kenapa? Kerana syaitan manusialah yang mengajak ke arah apa yang diajak oleh syaitan jin. Mereka mengajak ke arah kekufuran, bid’ah dan maksiat seperti yang diajak oleh syaitan. Sebahagian ulamak menyebut bahawa syaitan mengajak manusia ke arah dosa; dari dosa yang paling besar kemudian yang lebih kecil dan yang lebih kecil lagi.

Al-Imam Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya “Bada’I al-fawaid” menyebut bahawa syaitan itu menghasut manusia kepada enam perkara; jika dia berjaya menghasut kepada perkara yang pertama, maka telah cukup baginya. Tetapi jika yang pertama tidak berjaya, syaitan akan cuba menghasut kepada perkara kedua pula. Enam perkara tersebut ialah:

  • 1) Menghasut kepada kekufuran dan kesyirikan. Jika manusia telah jatuh ke dalam kekufuran dan kesyirikan, maka sempurnalah tugasnya.
  • 2) Jika tidak berjaya mengkufurkan manusia, syaitan akan mengajak ke arah perkara bid’ah (perkara baru yang ditokok tambah dalam urusan agama). Apabila manusia telah jatuh ke dalam perkara bid’ah, syaitan akan menjadikan seolah-olah perkara bid’ah itu sesuatu yang baik sehingga dia redha dan senang hati dengan perkara bid’ah tersebut.
  • 3) Jika tidak berjaya, syaitan akan berusaha supaya manusia jatuh ke dalam dosa besar.
  • 4) Jika tidak berjaya, syaitan akan berusaha supaya manusia melakukan dosa kecil.
  • 5) Apabila tidak berjaya juga menjatuhkan manusia ke dalam dosa kecil, syaitan akan berusaha membuatkan manusia sibuk dengan perkara-perkara yang harus sehingga lalai daripada melakukan ketaatan.
  • 6) Jika masih gagal, syaitan akan membuatkan manusia melakukan amalan-amalan yang marjuh (tidak kuat sandaran hujahnya) dan meninggalkan amalan yang rajih (yang lebih tepat)

Jika keenam-enam perkara ini masih juga gagal, syaitan tidak mempunyai cara lain lagi kecuali satu-satunya helah yang seorang manusia tidak akan selamat daripadanya. Kalau ada yang boleh selamat daripada helah ini, nescaya para anbiya’ dan rasul telah terlebih dahulu selamat. Helah ini ialah dengan menguasai tentera-tentaranya yang terdiri daripada syaitan-syaitan manusia; mereka inilah saudara-saudara syaitan. Syaitan-syaitan manusia inilah yang akan mempengaruhi mereka yang berpegang kuat dengan agama.

Maka peranan syaitan-syaitan manusia ini juga sama. Mereka akan mengajak ke arah kekufuran dan kesyirikan, mengajak kepada dosa besar, dan kepada dosa kecil. Jika gagal, mereka berusaha menjadikan manusia sibuk dengan perkara yang harus. Jika gagal mereka akan memalingkan manusia daripada melakukan amalan yang afdhal kepada amalan yang marjuh. Jika masih juga tidak mampu, mereka tidak ada cara lain, kecuali mereka tetap juga akan menyakiti manusia lain dengan lidah dan tangan mereka, atau dengan apa jua cara asalkan dapat menyakiti hati orang-orang yang berpegang dengan agama.

Justeru, hendaklah manusia sentiasa berwaspada dengan syaitan dari kalangan jin dan juga manusia.